Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan seberapa segera.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pada dasarnya, kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan sidang Dun namun ia tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut beliau, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua Dun Datuk Zulkefly Mohamad Omar, berkaitan pelaksanaan sidang Dun berkenaan.

"Seterusnya, saya akan mempersembahkan hasil perbincangan itu kepada Tuanku Muhriz untuk mendapatkan perkenan baginda supaya sidang Dun dapat diadakan seberapa segera.

"Sebarang tarikh sidang yang akan diangkat untuk dipersembahkan bagi perkenan Tuanku Muhriz akan mengambil kira tempoh notis kepada ahli-ahli Dun iaitu sekurang-kurangnya 28 hari notis.

"Ia selaras dengan Peraturan IV, Perintah 5, Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Tahun 1960," katanya pada kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, sekiranya mustahak dan perlu, notis yang seberapa segera boleh dikeluarkan tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.

"Tarikh dan tempoh sidang juga akan mengambil kira tarikh prorog dan hari istiadat pembukaan penggal persidangan, tertakluk kepada perkenan baginda," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang disokong oleh Raja-Raja Melayu terhadap saranan baginda supaya parlimen bersidang.

"Ia melambangkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat.

"Selain itu, ia menunjukkan fungsi Parlimen sebagai platform penting bagi wakil rakyat berbincang dan berbahas mengenai pelbagai isu khususnya dalam usaha mendepani pandemik Covid-19 serta membantu rakyat yang terkesan," katanya.

Aminuddin berkata, kali terakhir Dun Negeri Sembilan bersidang ialah pada 3 Disember 2020 yang berlangsung lima hari.

"Berdasarkan peraturan, tarikh persidangan selanjutnya hendaklah diadakan tidak lebih enam bulan daripada tarikh 3 Disember 2020 iaitu jatuh pada 2 Jun lalu.

"Bagaimanapun, tempoh enam bulan itu terhenti melalui proklamasi darurat dan tempoh enam bulan akan berjalan semula selepas 1 Ogos ini (sekiranya darurat tidak disambung lagi)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 4:59 PM