LALUAN dari Klinik Kesihatan Masjid Tanah ke Taman Bandar Baru Masjid Tanah berhampiran Stesen Minyak Petron, Masjid Tanah ditutup kepada lalu lintas. FOTO HASSAN OMAR
LALUAN dari Klinik Kesihatan Masjid Tanah ke Taman Bandar Baru Masjid Tanah berhampiran Stesen Minyak Petron, Masjid Tanah ditutup kepada lalu lintas. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


POLIS menutup laluan dari persimpangan Klinik Kesihatan Masjid Tanah ke Taman Bandar Baru di pekan Masjid Tanah, Alor Gajah, kerana ia dijadikan sebagai laluan tikus.

Laluan itu digunakan pemandu kenderaan untuk mengelak daripada melalui sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Balai Polis Masjid Tanah, kira-kira 800 meter dari taman terbabit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, polis menutup laluan berkenaan sejak beberapa hari lalu selepas mendapati pengguna jalan raya menjadikannya sebagai alternatif untuk mengelak SJR.

"Ia membolehkan pengguna jalan raya dari arah Kampung Paya Rumput, Lubok Cina, Tanjung Bidara, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru mengelak daripada melalui SJR untuk ke pekan Masjid Tanah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

LALUAN dalam Taman Bandar Baru Masjid Tanah ditutup kepada lalu lintas kerana pengguna jalan raya menjadikannya jalan pintas dan mengancam keselamatan penduduk. FOTO HASSAN OMAR
LALUAN dalam Taman Bandar Baru Masjid Tanah ditutup kepada lalu lintas kerana pengguna jalan raya menjadikannya jalan pintas dan mengancam keselamatan penduduk. FOTO HASSAN OMAR

Bagaimanapun, difahamkan berikutan penutupan laluan itu, kebanyakan pengguna jalan raya mengubah laluan dengan masuk ke dalam Taman Bandar Baru, Masjid Tanah melalui jalan dalam taman, sekali gus meloloskan diri daripada tali pita dipasang melintangi jalan berhampiran stesen minyak di situ.

Akibatnya, ia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk taman itu berikutan laluan dalam taman seolah-olah menjadi jalan utama, sekali gus mengancam keselamatan mereka.

Penduduk, Amir Mohd Ali, 57, berkata penduduk bimbang keselamatan mereka terancam berikutan peningkatan kenderaan menggunakan laluan di halaman rumah masing-masing, seolah-olah sudah berubah menjadi jalan raya utama.

Beliau berkata, berikutan itu, penduduk meminta polis menutup laluan dari deretan kedai di bahagian hadapan taman itu ke bahagian dalam taman berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 3:38 PM