MOHD Haris (kanan) mengangkat kon penghalang untuk diletakkan di SJR di Jalan Tulangis, Penampang, hari ini. FOTO JUWAN RIDUAN
MOHD Haris (kanan) mengangkat kon penghalang untuk diletakkan di SJR di Jalan Tulangis, Penampang, hari ini. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Penampang: Sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah ini akan diperketatkan selaras dengan pengasingan zon membabitkan daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Putatan menerusi penambahan pemantauan di laluan rentas daerah dikenal pasti.

Ini termasuk mengkaji beberapa lagi laluan alternatif atau jalan tikus yang menjadi pilihan pengguna jalan raya untuk merentas daerah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berikutan arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menambah satu lagi SJR di Jalan Tulangis, di sini.

Beliau berkata, Jalan Tulangis dikenal pasti digunakan pengguna jalan raya dari arah Putatan ke Penampang dan sebaliknya untuk mengelak daripada melalui SJR sedia ada di jalan utama di daerah ini.

"Kami mengambil inisiatif menutup dua jalan utama dan tiga laluan 'pusingan-u' seperti di Jalan Kobusak berhampiran stesen minyak Shell dan laluan masuk dari Penampang ke Cyber City.

"Kedua-dua laluan ini ditutup selepas hasil penilaian mendapati ia tidak menyebabkan kesukaran kepada pengguna jalan berikutan terdapat jalan altenatif lain boleh digunakan untuk urusan mendapatkan keperluan harian serta mereka yang keluar bekerja," katanya semasa meninjau pembukaan SJR di Jalan Tulangis, di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, orang ramai dinasihatkan supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan diberikan dalam usaha melandaikan penularan Covid-19 di daerah ini.

Sementara itu, hasil tinjauan mendapati beberapa kenderaan dilihat cuba mengelak daripada melalui SJR sehingga menyebabkan laluan berkenaan terpaksa ditutup.

Mohd Haris berkata, laluan ditutup itu adalah laluan masuk dari Penampang ke Cyber City di Kadugungan Gadang.

Katanya, walaupun laluan berkenaan ditutup, polis mendapati ada kenderaan membuat laluan sendiri berhampiran laluan ditutup itu.

"Kami menutup laluan itu menggunakan kon penghadang bagi mengelak orang ramai melaluinya.

"Sehubungan itu, orang ramai diharap tidak mengalihkan penghadang jalan secara sesuka hati kerana boleh dikenakan tindakan tegas.

"Pada masa sama, kami akan meneliti beberapa lagi jalan yang perlu ditutup selepas ini bagi menghalang pergerakan antara daerah terutama jalan tikus atau jalan alternatif yang menjadi pilihan pengguna jalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:12 PM