POLIS menggali lubang di lima lorong tikus di Kampung Tanah Puteh bagi menghalang cubaan merentas negeri menerusi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. FOTO RAMLI IBRAHIM
POLIS menggali lubang di lima lorong tikus di Kampung Tanah Puteh bagi menghalang cubaan merentas negeri menerusi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Polis terpaksa menggali lubang di lima lorong tikus di sekitar Kampung Tanah Puteh, dekat sini, bagi menghalang kenderaan rentas negeri melalui laluan itu memasuki Kelantan.

Langkah tegas itu berikutan kon konkrit yang diletakkan di laluan itu sebelum ini dipecahkan samseng jalanan untuk merentas negeri melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menutup lorong tikus itu kerana sering dijadikan laluan kenderaan orang ramai bagi mengelak diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tanah Puteh.

Katanya, selain menggali lubang dan menutup laluan, polis melakukan pemantauan serta rondaan di kawasan itu bagi memastikan tiada jalan lain dibina.

"Kami mengambil tindakan untuk menutup sepenuhnya lorong tikus bagi pengguna jalan raya yang cuba melepasi SJR.

"Jadi tindakan berterusan dan pemantauan akan dibuat daripada semasa ke semasa oleh anggota supaya tidak ada pihak tidak bertanggungjawab cuba untuk melepasi daerah atau rentas negeri," katanya ketika ditemui di Kampung Tanah Puteh, hari ini.

Sebelum itu, beliau melakukan pemantau di lima lorong tikus di kampung itu yang menjadi tumpuan pengguna untuk melepasi pemeriksaan di SJR.

Sik berkata, aliran trafik memasuki Kelantan melalui SJR di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Kampung Tanah Putih didapati lengang.

Beliau berkata, kebanyakan pengguna jalan raya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa esok yang melarang aktiviti merentas daerah dan negeri.

"Walaupun sambutan Aidilfitri hanya dua hari lagi, laluan trafik di jalan utama untuk memasuki Kelantan masih lenggang.

"Kami turut meningkatkan pemeriksaan kenderaan di sekatan itu dan di SJR Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Cameron Highlands bagi memastikan tiada pemandu merentas negeri untuk pulang beraya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 7:09 PM