KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal (kanan) menunjukkan barang rampasan dalam serbuan membabitkan sindiket judi dalam talian di sebuah kondominium di Seksyen 17, Petaling Jaya, semalam. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal (kanan) menunjukkan barang rampasan dalam serbuan membabitkan sindiket judi dalam talian di sebuah kondominium di Seksyen 17, Petaling Jaya, semalam. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menumpaskan sindiket judi dalam talian dengan penahanan 12 warga China termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Seksyen 17, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 5.30 petang.

"Dalam serbuan pertama kondominium berkenaan di sebuah kediaman tingkat 20 berjaya menahan lapan lelaki.

"Hasil maklumat yang dipandu arah seorang daripada suspek berkenaan membawa kepada serbuan kedua di sebuah kediaman tingkat 21 dan menahan dua lelaki dan dua wanita. Semua suspek yang ditahan berusia antara 23 hingga 33 tahun," katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian termasuk komputer riba, telefon bimbit, kad sim, modem dan wang tunai.

ANTARA barang rampasan dalam serbuan itu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA barang rampasan dalam serbuan itu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

"Siasatan polis mendapati sindiket itu beroperasi sejak Februari lalu dengan menjadikan unit kediaman di kondominium terbabit sebagai pusat panggilan yang mensasarkan pemain dari China.

"Soal siasat juga mendapati semua suspek berperanan sebagai operator menerima gaji mencecah RM10,000 sehingga RM13,000 sebulan. Malah sindiket ini juga dikesan mengaut keuntungan RM50,000 sehari.

"Semua suspek yang dipercayai masuk menggunakan pas pelancong itu direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 531 individu ditahan dan 124 daripadanya sudah dituduh di mahkamah kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 4:27 PM