Nurul Hidayah Bahaudin


REKRUT individu yang kehilangan kerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan gaji bulanan sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Itu adalah modus operandi satu sindiket perjudian yang menjadikan sebuah kedai makan di Taman Medan, Petaling Jaya, sebagai pusat operasi kegiatan judi dalam talian serta loteri haram sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar dalam serbuan polis di lokasi itu kira-kira 6 petang semalam, selepas menerima maklumat daripada penduduk di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menahan 11 lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 46 tahun.

"Tangkapan itu membabitkan lima lelaki termasuk tiga penganjur kegiatan judi dalam talian, manakala enam lagi suspek terbabit dengan aktiviti loteri haram.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua aktiviti ini didalangi sindiket sama yang merekrut individu tempatan menganggur kerana dibuang kerja ketika PKP dengan bayaran gaji RM1,500 sebulan.

"Difahamkan sindiket ini beroperasi secara terbuka di kedai makan berkenaan bermula 2 petang hingga 7 malam setiap hari sejak dua bulan lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, sindiket itu mempromosikan kegiatan judi dalam talian mesin slot di laman sosial seperti WhatsApp bagi menarik kaki judi dalam kalangan warga tempatan.

"Dalam serbuan itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM368 dan 11 telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk kedua-dua kegiatan berkenaan," katanya.

Dalam serbuan berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan seorang wanita dan tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 24 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di sebuah unit kondominium di Ara Damansara, 8 pagi semalam.

"Siasatan awal mendapati semua individu berkenaan bekerja dengan gaji sebanyak RM2,500 sebulan daripada sindiket judi itu.

"Difahamkan aktiviti judi itu beroperasi 24 jam setiap hari sejak sebulan lalu dengan menjadikan unit kondominium berkenaan yang disewa RM3,500 sebulan sebagai pusat panggilan.

"Sindiket terbabit yang mempromosikan kegiatan mereka menerusi Facebook dan WhatsApp dipercayai meraih keuntungan antara RM3,000 hingga RM5,000 sehari," katanya.

Katanya, semua suspek ditahan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 9(1), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)()g akta sama.

NIK Ezanee (kanan) menunjukkan barang yang dirampas dalam serbuan kegiatan judi di Ara Damansara dan Taman Medan. FOTO Mahzir Mat Isa
NIK Ezanee (kanan) menunjukkan barang yang dirampas dalam serbuan kegiatan judi di Ara Damansara dan Taman Medan. FOTO Mahzir Mat Isa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 12:14 PM