Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 310 pengunjung pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, Petaling Jaya, dikompaun selepas melanggar peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana berkumpul.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, seramai 200 lelaki dan 110 wanita yang juga pengunjung premis berkenaan berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan sebelum dikompaun atas kesalahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya membuat serbuan di tiga premis sekitar daerah itu bermula jam 11 malam.

"Semua individu terbabit dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang kerana didapati melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit kerja sah.

"Premis itu juga didapati beroperasi tanpa lesen sah. Selain itu, kami juga menahan 10 lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 30 tahun kerana dipercayai bekerja di pusat hiburan terbabit tanpa permit kerja yang sah.

ANTARA pengunjung pusat hiburan yang ditahan polis. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA pengunjung pusat hiburan yang ditahan polis. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

"Kami turut merampas pelbagai barangan elektronik seperti pembesar suara, mikrofon dan televisyen selain wang tunai berjumlah RM9,350.

"Semua individu yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Damansara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 5:37 PM