BADRUL Hisham cuba menenangkan Mohd Fikri Hafis selepas bapanya Mohd Danis dipercayai hilang di Bukit Selut. FOTO Safuri Kamarudin
BADRUL Hisham cuba menenangkan Mohd Fikri Hafis selepas bapanya Mohd Danis dipercayai hilang di Bukit Selut. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


LELAKI dari Taman Lili, Batu 42, dipercayai hilang di Bukit Charok Selut, Dalam Wang, Baling, selepas anaknya meninggalkannya sementara di tepi kebun bagi meminta bantuan penduduk apabila dia mengadu sesak nafas.

Mangsa, Mohd Danis Jamaludin, 43, pergi ke kawasan bukit itu bersama anaknya Mohd Fikri Hafis, 11, untuk melihat tanah kebun jam 2 petang sebelum keluar tiga jam kemudian.

Mohd Fikri berkata, ketika dalam perjalanan pulang dengan menunggang motosikal, bapanya terasa sakit dan sesak nafas lalu mereka berhenti di tepi kebun kira-kira dua kilometer dengan kampung penduduk.

Menurutnya, melihat bapanya sesak nafas dia cuba menghubungi ibunya, Norazila Abd Wahab, 43, tetapi tidak dapat dihubungi.

"Selepas saya gagal hubungi emak, saya terus berlari keluar untuk meminta pertolongan orang kampung .

"Saya masuk semula dengan penduduk kampung untuk menunjuk tempat bapa sakit, bagaimanapun hanya motosikal sahaja yang ditemui," katanya ketika ditemui di rumahnya di Baling, hari ini.

Operasi mencari terus dilakukan walaupun hujan lebat kerana bimbang kejadian lebih buruk.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pulai/Kupang, Badrul Hisham Che Li, berkata, operasi mencari dilakukan oleh penduduk, Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 9:52 PM