Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PROSEDUR Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang Ramadan masih terpakai dan sama seperti bulan sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP yang lain tetap sama iaitu orang ramai perlu mematuhi arahan kerajaan seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun, mesyuarat hari ini mengambil keputusan untuk membenarkan operasi kenderaan awam dilanjutkan bermula 4 petang hingga 10 malam berbanding sebelum ini 5 petang hingga 10 malam.

"Selain itu, operasi pasar awam juga dilanjutkan bermula 6 pagi hingga 2 petang berbeza sebelum ini setakat 12 tengah hari saja," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Menurutnya, kelonggaran waktu diberikan untuk memudahkan umat Islam membuat persediaan berbuka puasa dan bersahur sepanjang Ramadan.

POLITANO meraikan jaringannya. FOTO AP
POLITANO meraikan jaringannya. FOTO AP

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, kenderaan komersial tetap perlu menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Bagaimanapun urusan ini perlu dibuat dengan membuat temujanji terlebih dulu bagi mengelak kesesakan.

"Terdapat permohonan daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Puspakom untuk membuka kaunter bagi membolehkan proses pemeriksaan dan pendaftaran kenderaan persendirian dan perdagangan sepanjang tempoh PKP.

"Proses pendaftaran kenderaan oleh JPJ dan APAD boleh dilaksanakan dalam talian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:03 PM