OPERASI kaunter JPJ adalah pada hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari sahaja. FOTO Arkib NSTP
OPERASI kaunter JPJ adalah pada hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari sahaja. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka kaunter bagi urusan membabitkan kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan bermula 29 April ini.

JPJ dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan operasi kaunter itu adalah pada hari bekerja dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari sahaja.

"Bagaimanapun, hanya beberapa pejabat yang akan beroperasi mengikut kawasan iaitu di Kuala Lumpur membabitkan tiga cawangan, Negeri Sembilan (3), Johor (7), Sabah (7), Pulau Pinang (2), Perak (4), Selangor (6), Kedah (3), Sarawak (6), Pahang (3) dan masing-masing satu cawangan di Perlis, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Labuan.

"Perkhidmatan kaunter disediakan JPJ hanya membabitkan tiga jenis kenderaan itu untuk pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) kenderaan perdagangan, pembaharuan lesen memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV).

"Selain itu, penyelesaian senarai hitam dan pembayaran saman berhubung urusan pembaharuan lesen terbabit juga boleh dilakukan di kaunter berkenaan," katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan arahan pembukaan bagi urusan lain di kaunter membabitkan perkhidmatan JPJ akan dikeluarkan berdasarkan perkembangan semasa isu Covid-19 dan keputusan kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SENARAI cawangan JPJ yang membuka kaunter bagi urusan membabitkan kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan bermula 29 April ini. FOTO Ihsan JPJ
SENARAI cawangan JPJ yang membuka kaunter bagi urusan membabitkan kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan bermula 29 April ini. FOTO Ihsan JPJ

"Demi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan dan pematuhan terhadap PKP, orang ramai yang berurusan di kaunter JPJ dinasihatkan mengikuti garis panduan pencegahan Covid-19 seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"JPJ sentiasa komited memberikan khidmat bakti kepada masyarakat khususnya dalam situasi pandemik Covid-19," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan terdapat permohonan daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) supaya JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) membuka kaunter bagi membolehkan proses pemeriksaan dan pendaftaran kenderaan persendirian dan perdagangan sepanjang tempoh PKP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 6:49 PM