PEMERIKSAAN mandatori setiap enam bulan pastikan kenderaan selamat dipandu. FOTO Arkib NSTP
PEMERIKSAAN mandatori setiap enam bulan pastikan kenderaan selamat dipandu. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Isu kemalangan kenderaan berat yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini menyebabkan ada pihak menuding jari kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) kerana dikatakan gagal menjalankan tugas dengan baik.

Ini disebabkan antara alasan yang diberikan oleh pemandu atau syarikat logistik terlibat ialah kemalangan berpunca daripada kegagalan brek kenderaan berat yang menurut mereka tidak akan timbul jika Puspakom memberikan perkhidmatan berkualiti semasa pemeriksaan berkala kenderaan terbabit.

Susulan itu juga ada yang mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Puspakom lantaran ada dakwaan wujud unsur 'kawtim' (komplot) di antara warga agensi itu dan operator logistik yang memastikan kenderaan perdagangan milik mereka lulus pemeriksaan sekalipun hakikatnya tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Ketika diaju pertanyaan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd Mohammed Shukor Ismail mengakui mereka sering dipersalahkan oleh masyarakat apabila berlaku kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan, khususnya yang melibatkan kehilangan nyawa.

"Ini kerana setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan berkala di sini setiap enam bulan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Adalah tidak berasas untuk menyalahkan Puspakom dalam hal ini kerana pemeriksaan hanyalah sekali dalam tempoh enam bulan dan laporan yang dikeluarkan bergantung pada keadaan kenderaan itu semasa pemeriksaan dilakukan," tegasnya dalam temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan mandatori setiap enam bulan itu merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kenderaan selamat dipandu, tidak membahayakan pemandunya serta pengguna jalan raya lain.

Tegasnya, Puspakom tidak berkompromi dalam kualiti perkhidmatan dan pemeriksaan dilakukan menurut piawaian yang ditetapkan oleh APJ serta setanding piawaian antarabangsa seperti Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah (Unece).

"Tahap penggunaan sesebuah kenderaan berat berbeza antara satu sama lain dan memerlukan kekerapan penyelenggaraan yang berbeza. Contohnya, bas persiaran yang perjalanannya jauh dari selatan ke utara (Semenanjung Malaysia), penyelenggaraannya perlu lebih kerap berbanding dengan yang dekat perjalanannya.

"Malangnya, terdapat segelintir pemilik kenderaan berat yang hanya menjalankan penyelenggaraan ketika hendak menjalani pemeriksaan (mandatori) di Puspakom sedangkan tahap penggunaannya adalah tinggi sekali gus memerlukan penyelenggaraan lebih kerap," katanya.

Justeru, kata beliau, sesebuah kenderaan mungkin dinilai selamat semasa pemeriksaan namun pengabaian penyenggaraan menyebabkan kenderaan berisiko mengalami kerosakan di tengah jalan dan terbabit dalam kemalangan.

Bagaimanapun, katanya, ada syarikat yang amat mengutamakan keselamatan dengan menghantar kenderaan mereka lebih kerap ke Puspakom dan tidak terikat pada pemeriksaan mandatori enam bulan sekali.

Dalam bahagian kedua sebelum ini, Bernama mendedahkan ada segelintir pengusaha logistik dan pemandu kenderaan perdagangan cuba mengelat dalam pemeriksaan mandatori Puspakom dengan mengecat baharu kenderaan selain menukar sementara tayar lama kepada tayar baharu yang kemudian ditukar semula kepada tayar lama selepas selesai pemeriksaan.

Mohammed Shukor tidak menafikan kewujudan taktik sedemikian yang bertujuan mengaburi mata penguat kuasa.

"Memang ada segelintir pemilik kenderaan perdagangan yang dikesan melakukan pelbagai perkara tidak bertanggungjawab seperti meminjam sementara tayar mengikut spesifikasi ditetapkan semata-mata untuk lulus pemeriksaan Puspakom kerana pemeriksaan hanya bergantung pada keadaan kenderaan ketika itu.

"Perkara yang berlaku ini di luar bidang kuasa Puspakom dan kerana itu kami sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan situasi sebegini dapat dibendung daripada berleluasa," katanya.

PUSPAKOM sedia bekerjasama dengan JPJ untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan. FOTO Arkib NSTP
PUSPAKOM sedia bekerjasama dengan JPJ untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya lagi, pemeriksaan yang dijalankan menggunakan sistem komputer meliputi pelbagai sudut dan tidak bergantung pada aspek kosmetik luaran, sebaliknya lebih kepada ciri-ciri keselamatan seperti sistem brek, tayar dan lain-lain yang lazimnya mengambil masa 30 minit hingga satu jam mengikut jenis kenderaan.

Bagi meningkatkan lagi integriti pemeriksaan, Puspakom juga bersedia bekerjasama dengan JPJ untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan.

Pada Ogos lalu, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Zailani Hashim dilaporkan berkata, antara tindakan yang bakal diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan, terutama membabitkan kenderaan perdagangan, ialah menambah baik prosedur pemeriksaan di Puspakom.

Dalam pada itu, Mohammed Shukor menyangkal dakwaan ada warga Puspakom berkomplot dengan pengusaha logistik bagi memastikan kenderaan perdagangan yang berkenaan lulus pemeriksaan sekalipun tidak memenuhi spesifikasi keselamatan ditetapkan.

Ini kerana katanya, pemeriksaan Puspakom menggunakan teknologi komputer dan sistem automasi, sekali gus mengelakkan ia daripada dimanipulasi.

"Agensi ini beralih kepada digitalisasi dalam operasi dan pemeriksaan pada 2013 bagi meningkatkan ketelusan dan produktiviti selain memperkasa integriti Puspakom. Jadi, tuduhan Puspakom kawtim dengan pengusaha lori ini tidak berasas," tegasnya.

Tambahan pula kata beliau, teknologi automasi berkomputer yang diguna pakai itu juga sentiasa dinaik taraf seiring kehendak piawaian antarabangsa.

Menurutnya lagi, Puspakom juga antara agensi terawal yang menandatangani Ikrar Integriti Korporat bersama SPRM selain memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001:1 bagi meningkatkan integriti dan profesionalisme warga kerjanya.

Menurut Mohammed Shukor, agensi itu juga sentiasa menambah baik Rangka Kerja Pematuhan Integriti Puspakom (PICF) sedia ada dengan memfokuskan pada tiga aspek, iaitu berkaitan polisi dan prosedur; sistem, proses dan teknologi serta kakitangan; dan budaya kerja berintegriti.

Selain itu, Puspakom juga telah dan sedang melaksanakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang yang komprehensif bagi memastikan isu penyelewengan ditangani secara berkesan, sekali gus membuktikan komitmen tingginya dalam menjamin integriti petugas.

Buat masa ini, Mohammed Shukor berkata, agensi itu, secara purata, memeriksa 45,000 buah kenderaan berat sebulan merentasi pelbagai kategori seperti penggerak utama (prime mover), treler, bas persiaran, bas pekerja dan lain-lain.

Katanya jumlah semasa kakitangan iaitu kira-kira 900 orang juga mencukupi untuk menampung permintaan pemeriksaan kenderaan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 6:30 AM