JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan akad nikah berlangsung dalam tempoh PKPB. FOTO Arkib NSTP
JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan akad nikah berlangsung dalam tempoh PKPB. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan akad nikah berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini dengan bersyarat bermula Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, hanya enam orang saja dihadkan iaitu tiga dari pihak keluarga pengantin dan tiga orang dari pihak urusetia.

Katanya, mereka yang hadir hendaklah memakai pelitup mulut, memakai sanitasi tangan, serta penjarakan sosial.

"Enam yang dibenarkan ialah pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi dan juru nikah. Mereka hanya dibenarkan bernikah di Pejabat Kadi daerah saja. Tiada majlis walimatul urus dijalankan.

"Pasangan pengantin dan wali yang suhu badan melebihi 37.5 atau mempunyai gejala tidak sihat, ada kontak rapat dengan kluster aktif adalah ditangguhkan pernikahan mereka sehingga mendapat perakuan kesihatan dari pihak kesihatan.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kini terdapat 872 pasangan yang telah dibenarkan bernikah, tetapi ditangguhkan. Majlis akad nikah akan dilangsungkan dengan maksimum 20 minit," katanya pada media di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.

Jelas Tosrin, permohonan kebenaran berkahwin boleh diproses bagi dalam negeri dan luar negeri Johor.

Namun, katanya, kebenaran berkahwin dengan warga negara asing ditangguhkan sehingga ketetapan lain diputuskan.

"Bagi pendaftaran cerai ditangguhkan, tetap mereka boleh memohon untuk pendaftaran sekiranya mendapat perintah pengesahan cerai dari Mahkamah Syariah.

"Bagi pendaftaran ruju' boleh dilaksanakan melalui temujanji hadir ke pejabat kadi daerah. Permohonan pendaftaran pengesahan pernikahan dan poligami juga ditangguhkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:10 PM