GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pegawai farmasi syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini atas tiga pertuduhan iaitu melakukan khianat, mengugut isterinya mahu menjerut leher anak mereka dan memukul belakang badan guru wanita itu, bulan lalu.

Loh Chuan Tuck, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Chan Ket Yee, 40, di sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang pada 10.30 malam 27 September lalu.

Bagi pertuduhan mengugut, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya manakala bagi pertuduhan khianat, dia didakwa mengikut Seksyen 426 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bapa dua anak itu turut berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dia juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan berjumlah RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin manakala peguam Cyrill Clade Agus memohon jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 6:12 PM