GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lelaki Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan isterinya dengan memukul kepala dan perut wanita itu bulan lalu.

Rakibur Rahman, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Tertuduh yang bekerja membaiki telefon bimbit didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera terhadap isterinya yang juga warga tempatan berumur 46 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Merak, Jalan Bukit Idaman di Batu Caves di sini pada 7 malam, 5 Oktober lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dia juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh warganegara asing.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Disember untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 2:31 PM