GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias
GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias
Mohamed Farid Noh


SEBANYAK 11,726 saringan dibuat di lima daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di negeri ini sehingga semalam.

Ia membabitkan Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Kulai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu hanya 558 kes direkodkan dan 326 daripadanya sudah sembuh jangkitan wabak Covid-19.

“Statistik saringan yang dibuat adalah Johor Bahru (2,356 saringan), Kluang (4,300), Batu Pahat (2,057), Muar (2,101) dan Kulai (912).

“Statistik kes pula Johor Bahru merekodkan 191 jumlah jangkitan dengan 75 kes aktif dan 112 daripada jumlah kes disahkan sudah sembuh dari wabak. Kluang merekodkan 222 jumlah jangkitan dengan 87 kes aktif dan 131 disahkan sembuh.

“Batu Pahat pula mencatatkan 53 jumlah kes dengan 13 kes aktif dan 39 jumlah pesakit sembuh. Muar merekodkan 47 kes dengan 23 kes aktif dan 23 pesakit sudah sembuh manakala Kulai pula mencatatkan 45 kes jangkitan dengan 23 kes aktif dan 21 pesakit sudah sembuh, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara langsung di Facebook kerajaan negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan meminta semua rakyat Johor terus patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)bagi memastikan negeri ini mencatatkan penurunan kes jangkitan baharu sehingga angka sifar.

“Perkara ini boleh dicapai hanya dengan disiplin tinggi terhadap pematuhan kepada PKP yang ditetapkan kerajaan.

“Pematuhan PKP di seluruh Johor mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 97.17 peratus semalam berbanding 96.84 peratus, kelmarin.

“Kerajaan akan terus memantau kawasan yang disenarai dalam zon merah dengan antara langkah yang sudah diambil adalah meningkatkan operasi nyah cemar dan sanitasi awam,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjalankan nyah cemar dan sanitasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bandar Baru Ibrahim Majid pada 30 Mac dan 8 April lalu dengan prosesnya dilakukan di kediaman pesakit positif Covid-19, pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit dalam pemantauan (PUS) bagi mengelakkan jangkitan baharu.

“Selain kawasan zon merah, nyah cemar dan sanitasi awam turut dilakukan kawasan lain di seluruh negeri.

“Sehingga semalam, operasi nyah cemar dan sanitasi awam sudah dilakukan di 920 lokasi merangkumi 391 (bangunan kerajaan), 100 (rumah ibadat), 201 (tempat awam) dan 228 (lain-lain),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 11:48 AM