GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 208 kes demam denggi dilaporkan pada minggu epid 43/2020 sekali gus menurun 9.2 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 229 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R.Vidyananthan berkata, tiada kematian denggi dilaporkan pada minggu berkenaan menjadikan kumulatif kes kematian denggi sehingga minggu epid 43 kekal 39 kes.

Katanya, bagaimanapun jumlah itu meningkat 62.5 peratus jika dibandingkan dengan 2019 iaitu 24 kematian.

"Jumlah kes demam denggi yang direkodkan di negeri Johor daripada minggu pertama tahun ini sehingga minggu epid ke 43 ialah 10,159 kes iaitu peningkatan 10.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu 9,194 kes.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan, sebanyak 5,372 kes (52.9 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 4,787 kes (47.1 peratus) dari lokaliti bukan wabak.

"Daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru iaitu 174 kes, (83.7 peratus) dari jumlah keseluruhan kes diikuti Kulai 12 kes (5.8 peratus), Batu Pahat tujuh kes (3.4 peratus), Segamat empat kes (1.9 peratus), Tangkak empat kes (1.9 peratus), Kota Tinggi tiga kes (1.4 peratus), Kluang dua kes (1 peratus) dan Pontian dua kes (1 peratus). Tiada kes denggi dilaporkan di daerah Mersing dan Muar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Vidyananthan, pada minggu epid ini sebanyak 23 lokaliti wabak baru dilaporkan iaitu Johor Bahru (20), Kulai (2) dan Tangkak (1).

Katanya terdapat 75 lokaliti wabak denggi yang masih aktif dilaporkan iaitu di Johor Bahru (68 kes), Kulai (empat kes), Tangkak (dua kes) dan Batu Pahat satu kes.

"Jumlah terkumpul lokaliti wabak di Negeri Johor sehingga minggu epid 43 adalah 1,503 berbanding 1,193 dalam tempoh yang sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 26 peratus.

"Aktiviti sebaran maklumat pencegahan denggi dipergiatkan melalui infografik di platform media sosial dan hebahan radio secara harian.

"Masyarakat perlu melakukan aktiviti mencari dan musnah selama 10 minit di kediaman dan tempat kerja. Ini adalah bagi memastikan tiada tempat atau bekas menakung air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 4:55 PM