GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru : Kes denggi di Johor mencatatkan peningkatan sebanyak 7 peratus iaitu 8986 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 8402 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu, berkata jumlah kes yang dilaporkan iaitu sebanyak 4747 kes (52.8%) dilaporkan daripada lokaliti wabak dan 4239 kes (47.2%) daripada lokaliti bukan wabak.

"Pada Minggu Epid 38, sebanyak 279 kes demam denggi dilaporkan. Bilangan ini adalah menurun sebanyak 1.4 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya iaitu Minggu Epid 37 (283 kes).

"Daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru iaitu sebanyak 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes diikuti Muar (5.4%), Batu Pahat (4.3%), Kulai (2.9%), Pontian (2.9%), Tangkak (1.1%), Segamat (0.7%), Kota Tinggi (0.7%) dan Mersing (0.7%).

"Tiada kes dilaporkan di daerah Kluang. Daerah yang menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan Minggu 37 adalah daerah Muar, Batu Pahat dan Pontian," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Dr Aman, sebanyak 33 lokaliti wabak baru dilaporkan dan semua lokaliti tersebut adalah di daerah Johor Bahru (30), Kulai (2) dan Muar (1).

"Terdapat 102 lokaliti wabak denggi yang masih aktif dilaporkan. Ia membabitkan Johor Bahru (97; 95.1%), Kulai (4; 3.9%) dan Muar (1; 1%).

"Jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor sehingga Minggu Epid 38 adalah 1331 berbanding 1082 dalam tempoh yang sama pada Tahun 2019 iaitu peningkatan sebanyak 23%.

"Tiada kematian denggi dilaporkan pada Minggu Epid 38 bagi seluruh negeri Johor. Jumlah kes kekal 32 kes. Walau bagaimanapun, jumlah ini meningkat 39.1% jika dibandingkan dengan tahun 2019 pada tempoh yang sama iaitu 23 kes," katanya.

Dr Aman menyarankan orang ramai terus melakukan aktiviti cari dan musnah selama 10 minit di kediaman dan tempat kerja pada setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 3:40 PM