GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yun Mikail


PENINGKATAN tiga kes baharu positif Covid-19 di Lahad Datu, Sabah hari ini menjadikan daerah itu kini berada dalam zon merah.

Ia meletakkan daerah berkenaan sebagai zon merah ketiga di Sabah selepas Tawau dan Kota Kinabalu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon berkata Lahad Datu mencatatkan 42 kes Covid-19 setakat ini.

“Malahan seluruh negeri merekodkan peningkatan sebanyak 10 kes baharu di tujuh daerah.

“Pertambahan ini menunjukkan sebanyak 303 kes Covid-19 dicatatkan di Sabah manakala 22 kes dilaporkan pulih hari ini sekaligus terdapat 168 bilangan kumulatif yang pulih secara keseluruhannya,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, enam daerah lain yang menunjukkan peningkatan kes positif adalah Tawau (81 kes), Kota Kinabalu (44 kes), Sandakan (21 kes), Tuaran (21 kes), Penampang (12 kes) dan Beaufort (11 kes).

Manakala beberapa daerah lain seperti Kinabatangan, Keningau, Kunak, Putatan, Kota Belud, Sipitang, Papar, Tambunan, Ranau dan Semporna tidak menunjukkan sebarang pertambahan kes.

Sementara itu, empat kematian direkodkan di Sabah iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 9:26 PM