GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yun Mikail

Kota Kinabalu: Sebanyak 11 kes positif Covid-19 baharu dikesan membabitkan petugas kesihatan di enam daerah di Sabah, semalam.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, semua daerah yang melaporkan jangkitan ke atas petugas kesihatan ialah Tawau (empat), Semporna (tiga) dan masing-masing satu kes di Lahad Datu, Kota Kinabalu, Papar dan Beluran.

"Semua kes ini antara 219 kes positif baharu yang dilaporkan di Sabah setakat semalam.

"Menerusi jumlah itu, daerah Semporna dan Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi.

"Sebanyak 61 kes dilaporkan di Semporna dan 42 di Kota Kinabalu. Ia diikuti Sandakan (33), Tawau (28), Papar (18), Ranau (tujuh), Putatan (lima), Tambunan (empat) dan Penampang (tiga).

"Selain itu, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Pitas dan Beluran masing-masing merekodkan dua kes manakala satu kes baharu dilaporkan di Beaufort dan Kinabatangan," katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Dr Christina berkata, pertambahan kes di Papar dan Sandakan menjadikan kedua-dua daerah berkenaan berada dalam zon merah sejak 5 Oktober sekali gus keseluruhan bilangan zon merah di Sabah meningkat kepada tujuh daerah.

Terdahulu, lima daerah lain yang dikategorikan sebagai zon merah ialah Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Kota Kinabalu sejak peningkatan kes berlaku bermula hujung September lalu.

Setakat ini, bilangan kumulatif kes di Sabah adalah sebanyak 2,737 kes dengan 1,430 kes aktif dan sebanyak 1,290 kes pulih.

Sementara itu, tiga kes kematian baharu turut dilaporkan semalam termasuklah kematian seorang bayi perempuan berusia setahun di Semporna.

Kes berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Sabah akibat Covid-19 mencecah 17 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 12:33 PM