GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yun Mikail


SEPULUH pesakit Covid-19 di Sabah disahkan sembuh serta dibenarkan pulang.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, menerusi jumlah itu, enam pesakit dirawat di Hospital Lahad Datu, tiga pesakit di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan seorang pesakit di Hospital Tawau.

“Semua pesakit ini disahkan negatif Covid-19 selepas dua sampel diambil daripada setiap individu dan dilaporkan menunjukkan mereka negatif wabak ini.

“Selain itu, kami membuka enam pusat kuarantin baharu di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu (3), Sipitang (1), Kuala Penyu (1) dan Penampang (1), sekali gus menjadikan secara kumulatif 19 pusat kuarantin di seluruh Sabah.

“Seramai 623 orang ditempatkan di pusat kuarantin dan menerusi jumlah ini, 57 orang sudah dibenarkan pulang,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, 10 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini selain dua kes dilaporkan, semalam.

Menurutnya, setakat ini, Sabah mencatatkan 182 kes positif membabitkan di seluruh negeri.

“Daerah paling banyak merekodkan kes positif adalah Tawau sebanyak 53 kes kemudian diikuti Lahad Datu (34 kes), Kota Kinabalu (26 kes) dan Tuaran (12 kes).

“Kinabatangan serta Sandakan masing-masing terdapat 11 kes, Beaufort (7 kes), Kunak (7 kes), Putatan (6 kes), Kota Belud (5 kes) dan Sipitang (4 kes).

“Manakala Papar dan Ranau terdapat dua kes setiap daerah selain satu kes berlaku di Semporna serta Penampang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 11:20 AM