MASIDI MANJUN
MASIDI MANJUN
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sebanyak 16 daerah di negeri ini tidak mencatat kes baharu positif Covid-19, hari ini.

Daerah terbabit ialah Pitas, Papar, Kinabatangan, Kota Belud, Tongod, Kota Marudu, Telupid, Beluran, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, Kunak, Ranau, Tenom, Tambunan dan Nabawan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, situasi itu menunjukkan penularan Covid-19 di negeri ini mulai menunjukkan penurunan.

"Hari ini, hanya 10 daerah merekodkan kes positif baharu dengan kes paling tinggi di Sandakan sebanyak 226 kes, diikuti Kota Kinabalu dengan (212), Tawau (71), Penampang (49), Putatan (22), Lahad Datu (21) Tuaran (20), Keningau (12), Semporna (9) dan Kudat (4).

"Daerah-daerah ini mempunyai penduduk yang ramai dan ini menunjukkan kes positif Covid-19 kebanyakannya di kawasan berkepadatan tinggi," katanya pada sidang media laporan perkembangan harian COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Secara keseluruhan, katanya, Sabah mencatat 646 kes positif baharu Covid-19, hari ini menjadikan kumulatif kes di Sabah sebanyak 16,851 kes.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 mewakili kerajaan negeri berkata, jumlah kes positif baharu, hari ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding 678 kes, semalam.

"Sebanyak tujuh kematian direkodkan, hari ini dengan tiga di Sandakan, dua di Tawau dan masing-masing satu di Tuaran serta Kota Kinabalu.

"Tiga kluster baharu direkodkan hari ini, iaitu Kluster Dialisis di Lahad Datu, Kluster Penjara Sandakan dan Kluster Sepanggar," katanya.

Katanya, Kluster Dialisis yang merekodkan 19 kes, hari ini dikesan di Pusat Dialisis Hospital Lahad Datu.

"Ia menjangkiti empat jururawat dan seorang anak jururawat serta 14 pesakit yang menjalani rawatan di pusat itu.

"Kluster Penjara Sandakan pula merekodkan 39 kes, manakala Kluster Sepanggar tujuh kes. Bagi kluster sedia ada di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu pula sebanyak 11 kes direkodkan hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 9:03 PM