AMIRUDIN Shari. FOTO Faiz Anuar.
AMIRUDIN Shari. FOTO Faiz Anuar.
Norzamira Che Noh


KERAJAAN Selangor memperkenalkan dua platform e-dagang khas sempena Ramadan iaitu GRAB Selangor dan Platform Selangor (PLATS).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sudah mengenalpasti 77 pusat pengumpulan yang terdiri daripada 10 dewan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.

“Kesemua pusat ini akan mematuhi penjarakan sosial dan amalan kebersihan yang ketat sementara peniaga juga perlu mendapat suntikan pelalian tifoid seperti yang digariskan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PBT.

“Kerajaan negeri juga ingin menegaskan konsep ‘e-kitchen’ ini hanya berfungsi sebagai pusat pengumpulan sahaja. Tiada sebarang aktiviti memasak akan dibuat di pusat pengumpulan ini.

“Pembelian secara terus (walk in) juga tidak dibenarkan sebaliknya juadah akan akan dihantar oleh rakan penghantar seperti GRAB, BungkusIt, Mr. Speedy, Zepto Express dan MatDespatch,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk menggalakkan lagi penyertaan peniaga ke dalam program berkenaan sekali gus meringankan beban kewangan peniaga, kerajaan negeri menawarkan pembiayaan mudah tanpa faedah kepada peniaga kecil yang layak dengan pembiayaan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 melalui HIJRAH Selangor.

Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan Insentif Digitalisasi sebanyak RM600,000 bagi menggalakkan peniaga menyertai program ini.

“Justeru, dengan pengumuman ini, kita mengalu-alukan penyertaan wakil ‘e-hailing’ yang lain serta pemilik dewan atau fasiliti yang bersesuaian untuk pelaksanaan PLATS menghubungi HIJRAH, PLATS atau GRAB.

“Selain itu, kita juga menegaskan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk penganjuran program e-bazar Ramadan Selangor yang lain bagi mengelakkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas inisiatif yang diumumkan ini,” katanya.

Semalam, Amirudin memaklumkan kerajaan Selangor akan meneruskan e-bazar Ramadan dengan memastikan penjarakan sosial dilakukan dalam pelbagai keadaan.

Beliau dipetik berkata, yakin konsep itu boleh diteruskan di Selangor tetapi perlu mengekalkan disiplin serta kawalan sedia ada.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 6:04 PM