Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


SERAMAI 865 individu ditahan akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang memasuki hari kelapan, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu sedikit berkurangan berbanding hari sebelumnya iaitu 946 individu yang ditahan.

“Daripada jumlah itu, 732 individu direman dan 133 dijamin polis manakala 1,236 individu dituduh di mahkamah semalam.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 835 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 609,411 kenderaan setakat semalam,” katanya dalam

sidang media harian hari ini.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 50,226 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan 6,122 premis diperiksa pihak berkuasa.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah seramai 17,735 individu. Minggu ini umat Islam tentunya akan membuat persiapaan termasuk membeli-belah sempena menyambut kedatangan Ramadan.

“Saya ingin menasihatkan untuk semua mematuhi peraturan PKP, menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.



Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 3,332 operasi sanitasi awam di 109 zon termasuk di 30 zon merah dilakukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

“Sebanyak 292 operasi sanitasi meliputi 81 zon di 14 negeri, termasuk 41 kawasan di Johor dan 33 kawasan di Perak dilakukan semalam merangkumi 234 bangunan kerajaan, 110 tempat awam, 174 pusat perniagaan dan 21 pasar raya.

“Malah, operasi sanitasi juga dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di semua zon kuning dan merah di seluruh negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 4:37 PM