Zuliaty Zulkiffli


SEORANG lelaki ditahan polis kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas selain ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, malam tadi.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada 10.10 malam kerana tidak memberhentikan motosikalnya ketika ditahan polis menyebabkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terpaksa mengejarnya.

Dia ditahan tidak lama kemudian apabila anggota URB berjaya memintas motosikalnya yang menghala ke Jalan Alor Mengkudu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, hasil pemeriksaan mendapati, dia memiliki dua rekod jenayah iaitu Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Berikutan itu, motosikal Honda RS150 yang ditungganginya dirampas untuk pemeriksaan lanjut.

“Secara keseluruhan dalam pemeriksaan bermula 9.30 malam itu, kami menahan tujuh individu berusia antara 22 hingga 35 tahun kerana ingkar PKP.

“Mereka memberi pelbagai alasan tidak munasabah selain gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran pergerakan,” katanya.

ANGGOTA polis menyoal siasat lelaki yang tidak berhenti ketika pemeriksaan mengejut di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, malam tadi. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ANGGOTA polis menyoal siasat lelaki yang tidak berhenti ketika pemeriksaan mengejut di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, malam tadi. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Dalam pada itu, seorang ibu gagal mengawal perasaan marah sebaik melihat anak lelakinya berusia 20-an ditahan polis kerana ingkar PKP.

Sementara itu, di Padang Terap, tindakan degil individu menaiki kereta beramai-ramai dan menunggang motosikal tanpa arah petang semalam mengundang padah apabila mereka ditahan kerana ingkar PKP.

Dalam pemeriksaan di Felda Lubuk Merbau, pada 6 petang itu, 15 individu ditahan polis yang melakukan pemantauan Op Covid pada hari terakhir PKP Fasa 2.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, daripada jumlah itu, 12 lelaki termasuk seorang pondan dan tiga wanita.

Beliau berkata, semua mereka berusia antara 21 hingga 58 tahun yang juga penduduk di kawasan itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 11:03 AM