Zuliaty Zulkiffli


LELAKI ditahan selepas memecut kereta dipandunya dan merempuh sekatan polis di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Baling itu dikatakan tidak berhenti ketika polis menahannya.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan di kawasan perumahan Jalan Langgar, selepas dikejar anggota polis sejauh kira-kira enam kilometer.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata. ketika ditahan, suspek mendakwa melarikan diri akibat takut memandangkan cukai jalan kereta milik ibunya itu tamat tempoh.

“Namun, tindakannya itu boleh mengancam keselamatan anggota polis di lokasi kejadian.

“Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, pada operasi berakhir 2 pagi itu, pihaknya turut menahan 10 individu di daerah itu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

LELAKI ditahan polis kerana cuba merempuh sekatan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
LELAKI ditahan polis kerana cuba merempuh sekatan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata, kebanyakan daripada mereka memberi pelbagai alasan tidak munasabah untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

“Individu terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 10:36 AM