Hakimah Mohd Yusoff
Hakimah Mohd Yusoff
Muhaamad Hafis Nawawi


JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan Bilik Gerakan MyCareCov19 yang beroperasi di Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM, Aras 4, Blok B, Kompleks Islam Putrajaya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajauan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff berkata, Bilik Gerakan MyCareCoV19 yang mula beroperasi sepenuhnya mulai semalam adalah sebahagian daripada inisiatif MyCareCoV19 yang ditubuhkan Jakim.

Menurutnya, ia turut mendapat kerjasama agensi agama lain di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) danJabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Inisiatif ini juga mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

“Modus operandi Bilik Gerakan MyCareCoV19 ini ialah sedaya upaya untuk memeluk emosi golongan yang terjejas akibat PKP tanpa mengira kaum dan agama melalui perkongsian rasa, khidmat nasihat dan bimbingan yang diberikan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hakimah berkata, selain itu langkah proaktif yang dilakukan oleh MyCareCoV19 ini ialah dengan menghubungi kumpulan sasar yang dicadangkan oleh KPWKM, KPKT, KBS dan KWP.

“Seramai lapan orang petugas dan 20 orang kaunselor akan terbabit secara harian dalam memberi khidmat kepada kumpulan sasar.

“Bilik Gerakan MyCareCov19 boleh dihubungi melalui talian 03-8870519/7527/7528 atau boleh juga menulis melalui emel kepada [email protected],” katanya.

Beliau berkata, petugas juga akan menghubungi kumpulan sasar melalui talian 03-88707000.

“Hari pertama bilik gerakan ini beroperasi semalam, sebanyak 43 panggilan dan 12 emel yang diterima daripada klien dan lima panggilan susulan kes,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 2:49 PM