HAKIMAH. FOTO Arkib NSTP
HAKIMAH. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

SEJUMLAH 823 aduan berkaitan kekeluargaan, kerohanian, kaunseling syarie, terapi psikospiritual Islam dan 'ilaj Syarie diterima My Care Cov19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 13 April lalu.

Ia menunjukkan masyarakat khususnya umat Islam memerlukan bimbingan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari sudut khidmat nasihat serta kaunseling.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata, daripada jumlah itu, 696 panggilan diterima melalui talian hotline dan 127 melalui emel.

Katanya, kebanyakan soalan diterima adalah berkenaan isu nikah, cerai dan rujuk, permohonan untuk bernikah dalam tempoh PKP, isu pergaduhan antara suami isteri serta perceraian.

"Antara perkhidmatan utama yang kita tawarkan melalui MyCare CoV19 ini selain menerima panggilan masuk, ialah kita juga bertindak secara proaktif dengan membuat panggilan keluar menerusi telefon kepada kumpulan sasaran terpilih seperti golongan ibu tunggal dan penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Sehingga 24 April 2020, kita sudah menelefon hampir 248 orang untuk bertanya khabar mereka khususnya jika ada yang terputus bekalan makanan.

"Dalam kes sebegini, kita akan maklumkan kepada pegawai daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk menghantar bantuan segera kepada mereka," katanya kepada Harian Metro.

Hakimah berkata, lapan petugas daripada Jakim termasuk dua daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia akan menyantuni setiap panggilan dan aduan yang masuk.

Katanya, mereka dibahagikan kepada dua sesi iaitu 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala sesi petang bermula jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang.

Selain itu katanya, pihaknya turut dibantu 20 kaunselor bertauliah daripada Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK Care) Jakim yang bekerja dari rumah untuk membantu menjawab aduan pelanggan.

"Kita juga menelefon pelanggan dalam kalangan sasaran terpilih seperti ibu tunggal yang datanya dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penduduk PPR di bawah seliaan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Ia bertujuan bertanya khabar mereka pada musim PKP ini dan jika terdapat keperluan bantuan bekalan makanan, KSK Care akan menyalurkan maklumat itu kepada pihak bertanggungjawab untuk bantuan selanjutnya dan inilah hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 1:23 PM