GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tanya khabar golongan sasar. Itu antara inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi platform MyCare CoV19.

Ia disediakan dalam usaha menyantuni masyarakat yang mempunyai pelbagai masalah khususnya berkaitan agama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Inisiatif itu dijalankan bersama Jakim dan agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, antara khidmat diberikan termasuklah berhubung isu kekeluargaan dan kerohanian untuk bantuan nasihat.

Katanya, ia termasuklah masalah rumah tangga sehingga berlaku perceraian dan statusnya.

"Jakim akan menasihatkan pasangan berkenaan berusaha memperbaiki hubungan, bersabar dan menyedari ini adalah ujian daripada Allah dan pada waktu yang sama mencatat butiran penting peristiwa terbabit supaya dapat dimaklumkan kepada Mahkamah Syariah bagi pengesahan lafaz talak.

Menurutnya, sepanjang minggu lepas, pihaknya menerima 186 panggilan hotline dan 73 emel membabitkan pelbagai isu.

"Antara perkhidmatan utama yang kita tawarkan melalui MyCare CoV19 ini selain menerima panggilan masuk, ialah kita membuat panggilan keluar dengan menelefon kumpulan sasaran terpilih seperti golongan ibu tunggal dan penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Ia termasuk mereka yang terputus bekalan makanan.

"Kita akan maklumkan juga kepada pegawai daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk menghantar bantuan segera kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Abdul Aziz berkata, setakat ini platform terbabit berkesan membantu mereka yang berdepan kesulitan termasuk berkaitan emosi dan ia dilihat mencapai matlamat seperti disasarkan.

Katanya, enam petugas akan melayani panggilan dengan dua daripadanya adalah kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

"Mereka diberi dua giliran masa bertugas bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan sesi petang bermula jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang.

"Kita juga dibantu 20 orang kaunselor bertauliah daripada KSK Care Jakim yang bekerja daripada rumah untuk membantu menjawab aduan klien," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 0388707519/7527/7528.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 4:56 PM