IMPAK daripada wabak Covid-19 mengubah dinamika kehidupan masyarakat awam. 
IMPAK daripada wabak Covid-19 mengubah dinamika kehidupan masyarakat awam. 
Addin

 

Pandemik Covid-19 melanda negara dan dunia secara tidak langsung mengundang ketidaktentuan  jaminan kesihatan dan sekali gus merosak kestabilan ekonomi di semua sektor. Akibatnya ramai yang terpaksa menganggur, dibuang kerja dan hilang punca pendapatan menjadi punca sebilangan  masyarakat  mengalami tekanan emosi dan gangguan mental. Tidak kurang juga menyumbang kepada kes rumah tangga.

Impak daripada wabak ini mengubah dinamika kehidupan masyarakat awam  yang perlu mematuhi peraturan dan norma baharu dalam bermuamalat. Cabaran dalam kehidupan berumahtangga  perlu diambil cakna. Antaranya ialah isu  penderaan fizikal dan mental secara sengaja atau tidak akibat tekanan yang melanda perlu diberikan perhatian serius. Nafkah dalam keluarga juga menjadi masalah apabila perniagaan terpaksa ditutup, dibuang kerja oleh majikan akibat tidak mampu lagi memberikan gaji kepada pekerja. Hal ini secara tidak langsung menjejaskan ekonomi rumahtangga dan seterusnya ekonomi negara.

Jika kita lihat pula dari sudut pendidikan, anak-anak dan guru terpaksa melalui pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian. Cabaran untuk mendapatkan alat bantu pembelajaran yang terpaksa dikongsi secara bergilir-gilir dengan adik beradik lain dalam keadaan ibu-bapa juga perlu bekerja dari rumah. Semua ini memerlukan kos tambahan melibatkan bayaran bil dan pembelian komputer. Bayangkan sekiranya sebuah keluarga mempunyai 3 hingga 4 anak sedang belajar di sekolah dan universiti. Berapa unit komputer harus dibeli untuk mereka?  Lebih malang lagi apabila ada keluarga yang tidak berkemampuan untuk melanggan internet bagi mengikuti kelas pengajian seperti yang ditetapkan. Kita perlu membuat pemerhatian  ke atas fizikal, mental dan spiritual pelajar terutama yang menduduki peperiksaan besar seperti SPM atau STPM pada tahun semasa. Perkara ini juga akan mengundang permasalahan dan tekanan jika ahli keluarga gagal mengurusnya dengan baik.

Maka di sinilah peranan dan tanggungjawab (Keluarga, Sosial dan Komuniti) KSKCareCentre Jakim untuk memberikan sokongan dalam pembinaan kekuatan spiritual kepada masyarakat dalam mendepani cabaran dan kesan berantai dari wabak ini. Mungkin tidak semua pemasalahan dapat dirungkai dalam sekelip mata. Sekurang-kurangnya kewujudannya dapat berkongsi keperitan dan meringankan beban buat sementara.  Melalui bilik gerakan talian MyCareCov19 yang ditubuhkan di Jakim dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, KSKCareCentre membantu ribuan kes bagi khidmat nasihat dan bimbingan berkenaan isu kekeluargaan, kerohanian dan tekanan emosi. Inisiatif yang diambil mendapat sambutan hangat bermakna masyarakat awam yang memerlukan perkhidmatan ini. Sehingga kini, khidmat nasihat, bimbingan  ini diteruskan bagi membantu orang awam dalam mengukuhkan kecerdasan spiritual mereka. 

Modus operandi bilik gerakan talian MyCareCov19 ini dapat diakses melalui talian yang dibuka kepada orang ramai, di mana semua pihak yang memerlukan perkhidmatan boleh terus menghubungi bilik gerakan dan mendapatkan khidmat nasihat tersebut. Di sini jugalah peranannya dalam memberikan khidmat kepakaran masing-masing dalam menyantuni masyarakat awam.

Panggilan melalui talian hotline sentiasa diterima sepanjang minggu,  di samping  aduan melalui e-mel. Keseluruhannya direkod bagi setiap aduan. Selain menerima panggilan masuk, pegawai yang bertugas juga membuat panggilan keluar kepada kumpulan sasar terpilih seperti golongan ibu tunggal dan penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) berbekalkan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT). Panggilan sebagai pemantauan dibuat  jika ada yang terputus bekalan makanan dan juga sesi follow up bagi  klien yang pernah mengikut sesi khidmat nasihat sebelum ini. Bagi kes-kes segera dan mendesak pihak KSKCareCentre akan maklumkan kepada pegawai daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk menghantar bantuan segera kepada mereka.

Terapi psikospiritual Islam ini secara asasnya mempunyai hubungan erat dengan ilmu metafizik dan psikologikal. Ia diperkukuhkan kaitannya dengan proses mental, pengalaman dan sikap manusia. Secara definisinya, psikospiritual Islam boleh difahami sebagai konsep dan kaedah perawatan jiwa, minda, spiritual, mental, emosi mahupun perilaku moral. Ia bersumberkan al-Quran, sunnah, amalan salafussoleh umumnya serta ulama tasawuf khususnya. Pada masa sama, ia tidak mengetepikan ilmu pengetahuan semasa yang tidak bercanggah dengan prinsip dalam syariat.

Bidangnya merangkumi perbincangan mengenai psikologi manusia bermula pembinaan rumahtangga, proses pembesaran anak hingga remaja, pembentukan jati diri individu dewasa, menjelang usia lanjut serta saat menghadapi kematian. Pemahaman peranan roh, jiwa, hati, akal dan jasad atau aspek spiritual, intelektual serta fizikal dititikberatkan. Ia turut membincang dan melatih kaedah menghadapi masalah kehidupan dan bagaimana cara membentuk akhlak mulia. Ini adalah salah satu sebab mengapa Allah SWT mengurniakan manusia dengan bimbingan Nabi dan Rasul agar membentuk peribadi dan sahsiah manusia yang sempurna seperti mana yang dinyatakan di dalam al-Quran: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Qur'an, 33:21)

Kecerdasan spiritual mendatangkan manfaat dan kebaikan bagi menjamin kesejahteraan kesihatan mental setiap individu. Pandemik Covid 19 yang sedang melanda dunia ketika ini tidak terkecuali rakyat Malaysia membuatkan ramai yang tercedera kesihatan mentalnya. Masyarakat awam dinasihatkan agar mencari jalan untuk mengukuhkan diri dengan perkara-perkara yang positif dan memberi manfaat kepada diri sendiri seterusnya manfaat kepada orang di sekeliling kita. Justeru dengan adanya perkhidmatan MyCareCoV19 ini, masyarakat di luar sana boleh berkongsi rasa berhubung isu kekeluargaan dan kerohanian. MyCareCoV19 ini adalah inisiatif Jakim dan bersama beberapa agensi lain di samping setiap orang ramai perlu menjaga kesihatan diri. Apa yang dapat kita simpulkan sepanjang pemerhatian kes-kes yang sedia ada ini, kecerdasan spiritual adalah satu keperluan yang amat penting bagi memastikan setiap individu mampu mendepani kesan berantai  cabaran wabak Covid19. Aura positif ini sebenarnya terhasil dari iman yang mendalam yang dimanifestasikan melalui pemikiran dan diterjemahkan melalui tingkahlaku yang baik. Kecerdasan spiritual ini perlu melalui terapi psikospiritual Islam di mana mereka akan dibimbing mengikut kaedah pembersihan jiwa (tazkiyah al-nafs) yang berhubung rapat dengan pemurnian minda, hati dan jiwa.   Memperkukuhkan tauhid diri kepada Allah SWT secara suci murni dengan mempertaruhkan segala harapan sepenuh kepada-Nya adalah  perkara pokok. Berteraskan prinsip tauhid, Allah memberi peringatan mengenai musibah: "Tidak menimpa sesuatu musibah kecuali  dengan keizinan Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Dia akan memimpin hatinya…" (Taghabun:11).  Ini bermakna segala musibah yang berlaku  adalah luar dari kemampuan dan kawalan manusia termasuk penyakit, perubahan cuaca dan bencana alam. Pada penciptalah manusia bergantung harap. Sungguhpun demikian,  di tangan manusia dilengkapi dengan kudrat, ikhtiar dan akal untuk mengatasinya berbekalkan semangat dan tawakal.    

Penulis Pengarah Keluarga, Sosial  dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 9:04 AM