Peralatan dan ikan yang ditinggalkan  suspek sebelum melarikan diri daripada ditangkap selepas pihak berkuasa melakukan serbuan di Sungai Pertang.
Peralatan dan ikan yang ditinggalkan suspek sebelum melarikan diri daripada ditangkap selepas pihak berkuasa melakukan serbuan di Sungai Pertang.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Tiga lelaki yang melakukan renjatan elektrik ikan di kuala Sungai Pertang dekat Kampung Simpang Durian, di sini, lari lintang-pukang sebaik diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dan polis, petang semalam.

Ketua Perikanan Daerah Jelebu, Mohd Azhar Jusoh berkata, dia bersama seorang kakitangan dan dua anggota dari Balai Polis Simpang Durian membuat rondaan di kawasan sungai itu pada pada jam 2.20 petang.

Katanya, rondaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan mengenai aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang bagi tujuan renjatan elektrik.

"Sebaik tiba di lokasi pada 3 petang, didapati tiga lelaki sedang menangkap ikan dengan cara renjatan elektrik.

"Kami menyerbu ke arah suspek menyebabkan mereka melarikan diri dan selepas 50 meter, suspek mencampakkan peralatan digunakan sebelum menghilangkan diri di kawasan semak berhampiran," katanya.

Mohd Azhar berkata, pihaknya menunggu 20 minit, namun suspek tidak muncul sebelum peralatan ditinggalkan itu disita.

Katanya, pelbagai jenis ikan hasil kegiatan renjatan elektrik seberat 500 gram turut dirampas.

"Siasatan dibuat mengikut Larangan 3(2)( iii) Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai ( 1976) Negeri Sembilan dan semua barang dirampas dibawa ke Pejabat Perikanan Daerah Jelebu untuk tindakan lanjut.

"Kami membuat laporan di Balai Polis Kuala Klawang pada 6 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin mengesahkan menerima laporan dibuat pegawai perikanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 1:39 PM