GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yusmizal Dolah Aling dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


CADANGAN membuka semula kedai gunting ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Isnin ini mendapat pandangan dan reaksi berbeza daripada masyarakat.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan individu tidak sependapat berhubung perkara berkenaan dan memberikan reaksi berlainan.

Bagi Pegawai Bank Dean Mohamed, 30 berkata, pembukaan kedai gunting rambut adalah tidak wajar berikutan negara ketika ini sedang mengenakan PKP di semua kawasan.

“Mungkin boleh berlaku risiko penularan Covid-19 di kedai gunting rambut jika ia dibuka untuk orang awam.

“Malah ia juga mungkin dijadikan alasan untuk individu yang ingin keluar dari rumah sekali gus menyebabkan proses PKP gagal,” katanya.

Namun lain pula bagi pembantu peribadi, Muhamad Taufik Lubis Mokhtar, 35, yang berpendapat, operasi kedai gunting rambut perlu dihadkan pada hujung minggu sahaja jika kerajaan membuat keputusan membenarkannya beroperasi.

Menurutnya, ia bagi membolehkan orang ramai mendapatkan khidmat tukang gunting seperti mana sebelum ini.

Katanya, ia tertakluk kepada prosedur operasi standard yang dibenarkan, namun pengawalan dari segi kebersihan perlu diutamakan.

“Saya tidak setuju kalau kebenaran diberikan setiap hari, cukuplah jika dihadkan pada masa tertentu saja,” katanya.

Bagi Eksekutif Pemasaran, Norhifsham Hanif, 28, pula, jika cadangan membuka kedai gunting rambut dipersetujui langkah pencegahan dan kawalan ketat diperlukan.

“Peniaga mestilah mengikut garis panduan disediakan kerajaan. Bagaimanapun sejauh mana garis panduan itu boleh dituruti? Sedangkan langkah PKP yang dilaksanakan masih ramai individu yang degil.

“Jika benar ingin melaksanakan sepatutnya perlu dibuat pencegahan sebagai contoh hanya satu pelanggan dibenarkan berada di dalam kedai berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 6:24 PM