PETUGAS mengagihkan bekalan makanan asas kepada penduduk terjejas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Datuk Ibrahim Majid, Simpang Renggam. FOTO IHSAN MRA & RELA
PETUGAS mengagihkan bekalan makanan asas kepada penduduk terjejas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Datuk Ibrahim Majid, Simpang Renggam. FOTO IHSAN MRA & RELA
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 1,044 keluarga di kawasan tertakluk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sudah menerima bekalan makanan asas yang diagihkan sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Zaiton Ismail berkata, bekalan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu diagihkan oleh lebih 40 anggota pelbagai agensi.

Antaranya, anggota JKM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Daerah Simpang Renggam dan Malaysian Relief Agency (MRA) Johor.

“Bekalan makanan asas ini adalah beras, gula, teh, susu, sardin, telur, biskut selain makanan basah seperti sayur, ikan atau ayam.

“Setakat malam tadi, ia sudah diedarkan kepada 1,044 rumah yang membabitkan kira-kira 3,000 penduduk.

“JKM akan terus memantau serta melicinkan proses pengagihan bekalan makanan ini, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaiton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Balang berkata, proses agihan dipastikan selamat dengan petugas terbabit dilarang berhubung dengan penghuni.

“Petugas hanya meletakkan stok makanan di hadapan rumah penduduk sahaja dan sebarang bentuk hubungan termasuk komunikasi bersemuka tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Pada malam Khamis lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dua penempatan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

Ia membabitkan Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang dengan 3,570 penduduk tempatan daripada 650 keluarga terkesan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 2:04 PM