PEMANDANGAN dari udara keadaan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid yang dikenakan PKPD. FOTO Fathil Asri.
PEMANDANGAN dari udara keadaan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid yang dikenakan PKPD. FOTO Fathil Asri.
Adnan Ibrahim


LEBIH 2,000 keluarga di Parlimen Simpang Renggam sudah menerima bantuan bekalan makanan asas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Penyerahan barang-barang keperluan makanan asas itu diberikan sama ada melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ADUN Machap, Abd Taib Abu Bakar mahupun Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Simpang Renggam sendiri.

Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, semua penerima adalah daripada golongan B40 yang terjejas akibat PKP kerana terputus punca pendapatan terutama mereka yang bekerja sendiri.

Katanya, perancangan bantuan bekalan makanan asas yang diberikan sebelum ini adalah sehingga 14 April, tetapi disebabkan PKP dilanjutkan kepada 28 April, pihaknya merancang memberi bantuan tambahan kepada penerima.

“Memang penduduk ada menerima Bantuan Prihatin Negara (BPN), namun kita tidak tahu bila tempoh PKP ini akan ditamatkan.

“Kita mahu wang BPN digunakan secara berjimat cermat supaya mereka bersedia jika PKP dilanjutkan lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zakaria berkata, Umno Bahagian Simpang Renggam membuat persiapan rapi dengan memperuntukkan lebih banyak barang keperluan asas ini untuk diagihkan kepada keluarga yang benar-benar terputus bekalan makanan.

Menurutnya, kesungguhan semua pihak termasuk kumpulan pengurusan di Bilik Gerakan Bencana Covid 19 membolehkan semua penduduk di kawasan berkenaan sentiasa terbela serta tidak berhadapan masalah walaupun terpaksa tinggal berkurung di kediaman masing-masing.

Sebelum itu, Umno Bahagian Simpang Renggam menerima sumbangan sebanyak 650 Kilogram beras dan 1,560 bungkus tepung gandum yang disumbangkan oleh Tabung Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 11:05 AM