SEORANG daripada ahli jawatankuasa Masjid Tengku Zainal Long, Fadzel Zabidi Zakaria (kanan) mengagihkan kit bantuan kepada anak kariah terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di Kampung Air Tawar, Kampung Raja, Besut hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
SEORANG daripada ahli jawatankuasa Masjid Tengku Zainal Long, Fadzel Zabidi Zakaria (kanan) mengagihkan kit bantuan kepada anak kariah terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di Kampung Air Tawar, Kampung Raja, Besut hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


“KAMI sepakat menggunakan separuh wang sumbangan orang ramai dari tabung masjid untuk membantu anak kariah terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Nazir Masjid Tengku Zainal Long di Jertih, Terengganu.

Khairul Ikhwan Mat Zaki berkata, mereka terpanggil untuk melakukan sumbangan selepas melihat ramai golongan asnaf dan anak kariah tidak dapat bekerja berdepan masalah hampir terputus bekalan makanan harian.

Katanya, kebiasaannya pengagihan barangan keperluan makanan asas untuk golongan asnaf dibuat ketika bulan Ramadan sahaja sejak lima tahun lalu.

“Wang tabung masjid diagihkan kepada dua bahagian satu untuk agihan bantuan dan satu lagi untuk tujuan wakaf masjid sahaja.

“Peruntukan bagi setiap keluarga bernilai RM60 dengan setiap kit sumbangan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak dan gandum,” katanya di Kampung Air Tawar, Kampung Raja, Jertih.

Menurutnya, setiap tahun, ada 50 keluarga golongan asnaf yang menerima sumbangan tetapi pengagihan kali ini turut diberikan kepada ketua keluarga tidak dapat keluar bekerja.

“Kebanyakan penduduk di sini bekerja sendiri seperti tukang rumah, nelayan dengan upah gaji hari sahaja. Jika tidak dapat keluar kerja tiada sumber pendapatan keluarga.

“Orang ramai yang mahu memberi sumbangan juga turut dialukan berbuat demikian. Jika diikutkan semalam kami sudah mengagihkan 50 pek bantuan dan hari ini 50 pek lagi,” katanya.

Tambah beliau, jika PKP dilanjutkan selepas 31 Mac, pihaknya akan membuat agihan kepada mereka yang memerlukan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 9:08 PM