ANGGOTA bomba menghantar mayat mangsa ke Long Tap, hulu Baram. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menghantar mayat mangsa ke Long Tap, hulu Baram. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


LELAKI yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya karam di Sungai Akah di Long Tap, hulu Baram Selasa lalu, ditemui lemas, semalam.

Mayat mangsa, Timothy Tinggang Ngau, 33, ditemui terapung oleh penduduk kampung di Long Diru, hulu Long Lawen, 2.15 petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tiong Ling Hii berkata, lokasi mayat ditemui agak jauh dari lokasi kejadian di jeram Sungai Akah yang memerlukan masa tiga jam perjalanan menaiki bot.

Beliau berkata, sebaik ditemui mayat ditarik penduduk kampung ke tebing sungai di Long Na’ah.

“Mayat mangsa kemudian dibawa balik ke Kampung Long Tap oleh anggota bomba pada 8.40 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ling Hii berkata, ketika kejadian, Selasa lalu, mangsa dikatakan menaiki perahu bersama seorang rakannya untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun, ketika melalui arus deras di jeram Sungai Akah, perahu mereka karam dan mangsa hilang manakala rakannya berjaya berenang ke tebing.

“JBPM menerima laporan kejadian itu daripada pegawai kanan Pejabat Daerah Telang Usan yang membuat panggilan terus ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi pada 12.46 tengah hari, Selasa lalu.

“Tiga anggota daripada BBP Marudi dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan itu dan mereka menggerakkan operasi mencari dan menyelamat bersama penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR itu disertai penduduk dari lima kampung iaitu Long Tap, Long San, Long Liam, Long Na’ah dan Long Selatong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 10:30 AM