Anggota Jabatan Perhutanan Kedah memeriksa sebahagian pokok balak bernilai RM140,000 yang cuba dicuri dari Hutan Simpan Relau. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Kedah
Anggota Jabatan Perhutanan Kedah memeriksa sebahagian pokok balak bernilai RM140,000 yang cuba dicuri dari Hutan Simpan Relau. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Kedah
Adie Suri Zulkefli


JABATAN Perhutanan Kedah menggagalkan percubaan mencuri kayu balak bernilai RM140,000 dari hutan simpanan kekal (HSK) Bukit Relau, Kulim dalam operasi dua hari bermula Khamis hingga Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Abu Hassan berkata, aktiviti pembalakan haram itu dikesan susulan operasi dijalankan yang diketuai Pegawai Hutan Daerah Kedah Selatan, Mohamad Faisal Nasaruddin sebelum menemui tujuh tunggul pokok bermutu tinggi sudah ditebang di Kompatmen 4 dan 5 HSK Bukit Relau.

Menurutnya, bagaimanapun anggotanya tidak menemui jentera untuk aktiviti pembalakan haram ketika operasi itu.

"Dua batang balak dipotong menjadi empat tual balak 2.74 meter (m) dan satu tual balak 5.4 m manakala baki lima batang balak masih belum dipotong.

"Kami percaya pembalak haram sedang dalam proses memotong baki lima batang balak itu yang bermula sejak dua minggu lalu namun tindakan pantas pihak Jabatan Perhutanan negeri menghalang aktiviti mereka untuk mencurinya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Nasir berkata, laporan polis juga sudah dibuat dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terbabit.

Difahamkan kayu balak yang disita itu berasal dari pelbagai spesies bermutu tinggi seperti Keruing, Meranti, Kelat dan Keledang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 7:48 PM