Fitri Nizam dan Zaid Salim

Jertih: Kira-kira 300 tan kayu cengal bernilai RM3 juta yang ditempatkan sindiket Geng Azhar di lokasi transit di ladang getah Kampung Pekan Sari di sini, lesap selepas mereka menyedari kegiatan dihidu Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).

Rentetan daripada penahanan tiga lelaki dipercayai ahli sindiket itu pada 29 April lalu, pasukan penguatkuasaan JPNT mengesan dua lokasi yang dijadikan transit kayu balak dicuri.

Di lokasi transit ladang sawit dekat Kampung Gong Medang di sini, pihak berkuasa menemui lima longgokan kayu balak pelbagai bernilai RM60,000.

Bagaimanapun, Pengarah JPNT Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid berkata, pihaknya percaya sindiket terbabit segera memindahkan 300 tan kayu cengal berkualiti tinggi di lokasi transit kedua ke kawasan lain bagi mengelakkan dirampas.

KAKITANGAN JPNT memeriksa pelbagai  kayu balak haram yang disimpan di ladang sawit dan getah di Kampung Medang.
KAKITANGAN JPNT memeriksa pelbagai kayu balak haram yang disimpan di ladang sawit dan getah di Kampung Medang.

“Pada Jumaat lalu, pasukan serbuan mengesan lokasi transit yang menempatkan 40 kayu balak pelbagai di ladang sawit.

“Mengetahui kegiatan mereka terdedah, sindiket dipercayai segera memindahkan kayu cengal yang lebih bernilai itu ke lokasi lain bagi mengelak ia dirampas.

“Apabila pasukan serbuan tiba di lokasi kedua, kami mendapati hanya sebatang saja kayu cengal ditinggalkan manakala selebihnya dipercayai dipindahkan,” katanya.

Ahmad Fadzil berkata, pihaknya kini dalam proses mengesan lokasi digunakan sindiket untuk menyembunyikan kayu balak bermutu tinggi terbabit.

Justeru, orang ramai diminta membantu menyalurkan maklumat supaya JPNT melumpuhkan sindiket bagi mengelak lebih banyak kerosakan di kawasan hutan simpan di Besut dilakukan lanun rimba.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 5:16 AM