ANGGOTA Jabatan Perhutanan  memeriksa   balak  yang cuba dicuri di Hutan Simpan Relau.
ANGGOTA Jabatan Perhutanan memeriksa balak yang cuba dicuri di Hutan Simpan Relau.
HM Digital

Kulim: Jabatan Perhutanan negeri menggagalkan percubaan mencuri kayu balak bernilai RM140,000 dari hutan simpanan kekal (HSK) Bukit Relau dalam operasi dua hari bermula Khamis hingga Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Abu Hassan berkata, aktiviti pembalakan haram itu dikesan susulan operasi dijalankan yang diketuai Pegawai Hutan Daerah Kedah Selatan, Mohamad Faisal Nasaruddin sebelum menemui tujuh tunggul pokok bermutu tinggi sudah ditebang di Kompatmen 4 dan 5 HSK Bukit Relau.

Bagaimanapun katanya, anggotanya tidak menemui jentera untuk aktiviti pembalakan haram ketika operasi itu.

“Dua batang balak dipotong menjadi empat tual balak 2.74 meter dan satu tual balak 5.4 meter manakala baki lima batang balak masih belum dipotong.

“Kami percaya pembalak haram sedang dalam proses memotong baki lima batang balak itu yang bermula sejak dua minggu lalu namun tindakan pantas pihak Jabatan Perhutanan negeri menghalang aktiviti mereka untuk mencurinya,” katanya.

Mohd Nasir berkata, laporan polis juga sudah dibuat dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terbabit.

Difahamkan kayu balak yang disita itu berasal dari pelbagai spesies bermutu tinggi seperti Keruing, Meranti, Kelat dan Keledang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 6:54 AM