PUSAT Kawalan Bomba diwujudkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki Orang Kurang Upaya(OKU) yang dikhuatiri hilang ketika ke kebun di Lakutan, Jalan Merapok, Lawas. FOTO Ihsan bomba
PUSAT Kawalan Bomba diwujudkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki Orang Kurang Upaya(OKU) yang dikhuatiri hilang ketika ke kebun di Lakutan, Jalan Merapok, Lawas. FOTO Ihsan bomba
Norsyazwani Nasri

SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri hilang ketika ke kebun di Lakutan, Jalan Merapok, Lawas, semalam.

Abdul Sani Abdullah, 50, ke kebun seorang diri dengan menunggang motosikal pada jam 8.30 pagi dan dilaporkan tidak pulang ke rumah hingga hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 10.59 pagi ini.

Katanya, keluarga cuba mencari Abdul Sani dengan bantuan penduduk kampung sehingga petang semalam tetapi gagal menemukannya.

“Hanya motosikal mangsa berjaya ditemukan pada 5.43 petang semalam,” katanya hari ini.

Katanya, jarak kebun dari rumah mangsa kira-kira satu kilometer dan ini adalah kali ketiga lelaki itu hilang.

Tiong berkata, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan radius 530 meter dari tempat motosikal mangsa dijumpai.

“Setakat ini masih belum menjumpai apa-apa bukti dari pergerakan mangsa.

“Turut serta dalam operasi SAR ini ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan penduduk kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 4:45 PM