KEBAKARAN yang memusnahkan rumah panjang dihuni 222 orang. FOTO Ihsan Bomba.
KEBAKARAN yang memusnahkan rumah panjang dihuni 222 orang. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 222 penghuni Rumah Panjang Dingon Megong di Skim Penempatan Semula Sekuau, Sibu tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.26 pagi.

Katanya, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dengan bantuan lima anggota dari BBP Sibu dikerah ke lokasi.

“Sebaik tiba, rumah panjang satu tingkat dengan 22 pintu jenis tidak kekal yang terletak lebih 50 kilometer dari Sibu sudah terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tiong berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Katanya lagi, rumah panjang itu dihuni 222 penduduk dengan 78 daripadanya kanak-kanak.

“Ketika ini, semua mangsa ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 9:43 AM