SEORANG wanita berusia 26 tahun (dua dari kanan) yang baru pulang dari Singapura dibawa oleh pasukan perubatan dari Pejabat Kesihatan Kuala Pilah ke Institut Aminuddin Baki, Pusat Kuarantin Nilai. FOTO Ihsan IPD Kuala Pilah
SEORANG wanita berusia 26 tahun (dua dari kanan) yang baru pulang dari Singapura dibawa oleh pasukan perubatan dari Pejabat Kesihatan Kuala Pilah ke Institut Aminuddin Baki, Pusat Kuarantin Nilai. FOTO Ihsan IPD Kuala Pilah
Amran Yahya


DUA beradik menjadi pesalah pertama di Kuala Pilah yang dikompaun RM1,000 mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mereka ditahan polis semasa melalui sekatan jalan raya di Ulu Bendul pada 10.50 malam.

“Berdasarkan siasatan awal, wanita berusia 26 tahun itu bekerja di Singapura dan pulang ke negara ini sebelum diarahkan dikuarantin selama 14 hari di Johor Bahru.

“Bagaimanapun, dia melanggar arahan itu apabila pulang ke negeri ini dengan menaiki bas sehingga ke Seremban dengan alasan mahu melawat ibunya di Bahau.

“Abangnya berusia 29 tahun kemudian menjemput wanita berkenaan sebelum mereka ditahan,” katanya.

Amran berkata, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh di hukum mengikut Peraturan 11 akta sama.

Beliau berkata, mereka dibawa ke Balai Polis Melang dan seterusnya tawaran dikompaun kesalahan RM1,000 dikeluarkan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, wanita berkenaan seterusnya dibawa ke Institut Aminuddin Baki, Pusat Kuarantin Nilai oleh pasukan dari Pejabat Kesihatan Kuala Pilah untuk dikuarantin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:44 PM