GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Majikan menggajikan pekerja asing yang memegang Pas Lawatan (Pekerjaan Sementara) diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan dikuarantin sebagaimana diarahkan.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan memberi perhatian serius usaha membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja termasuk pekerja asing mempunyai permit penggajian sah.

"Segala kos, fi, caj, penyaraan dan perbelanjaan bagi ujian pengesanan Covid-19 dan kuarantin bagi pekerja asing ditanggung majikan sepenuhnya.

"Ini selaras dengan peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan yang dibuat dibawahnya berkuat kuasa hari ini iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 9) 2020 [P.U. (A) 400/2020].

"Selain itu, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) (Covid-19)) (Pindaan) (No. 2) 2020 [P.U. (A) 401/2020] dan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Layanan Perubatan Dan Penyaraan Orang Yang Dipindahkan Ke Stesen Kuarantin) (No. 2) Pindaan) 2020 [P.U. (A) 402/2020] serta Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No. 13) 2020 [P.U. (A) 403/2020]," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia akan membuat pemeriksaan berterusan memastikan semua majikan mematuhi arahan melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 dan kuarantin pekerja asing mereka.

"Majikan yang gagal mematuhi arahan ini boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan dikenakan kompaun.

"Kementerian juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya majikan gagal mematuhi peruntukan Akta 342 dan Peraturan-Peraturan di bawah akta berkenaan," katanya.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan dan penularan wabak Covid-19, pihaknya menyarankan majikan melakukan ujian pengesanan Covid-19 bagi pekerja asing di mana-mana klinik dan hospital swasta seluruh negara.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melantik 4,552 panel klinik bagi tujuan berkenaan.

"Majikan boleh melayari laman sesawang https://psp.perkeso.gov.my untuk mendapatkan senarai klinik panel atau pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] dan talian hotline 1300-22-8000 atau 03-4264 5089," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 5:56 PM