Antara individu yang menyertai parti di sebuah premis di Jalan Aminuddin Baki, TTDI di sini, semalam. Foto Ihsan PDRM
Antara individu yang menyertai parti di sebuah premis di Jalan Aminuddin Baki, TTDI di sini, semalam. Foto Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 55 individu yang menyertai parti liar di sebuah premis Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, semalam dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, polis mengeluarkan kompaun RM1,000 setiap seorang.

Menurutnya, pihaknya juga menahan dua individu dipercayai penganjur dan penjaga premis serta 33 pengunjung warga asing berusia antara 18 hingga 56 tahun dalam serbuan pada 10.50 malam.

"Siasatan mendapati premis hiburan terbabit menganjurkan parti persendirian dan berselindung di sebalik rumah kedai dua tingkat.

"Kehadiran pengunjung yang ramai dilihat sedang berhibur sambil minum arak hingga menyukarkan penjarakan fizikal.

"Susulan itu, kita keluarkan kompaun RM56,000 dan menahan dua pekerja dan 33 warga asing dari 21 negara selepas menjalankan pemeriksaan terhadap tiga pekerja lelaki dan 85 pengunjung termasuk 38 wanita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati semua tahanan negatif dadah sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021," katanya.

Sementara itu, Amihizam menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit aktiviti bertentangan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya.

"Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 8:21 PM