Helikopter EC725 TUDM membuat penghantaran bekalan makanan ke Long Akah dan Long Loyang di hulu Baram hari ini. FOTO ATM
Helikopter EC725 TUDM membuat penghantaran bekalan makanan ke Long Akah dan Long Loyang di hulu Baram hari ini. FOTO ATM
Mohd Roji Kawi

OPERASI penghantaran bekalan makanan menggunakan helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang masuk hari ketiga hari ini, berjaya dilaksanakan di dua kawasan pedalaman negeri ini.

Helikopter pertama yang terbabit dalam operasi hari ini diterbangkan Leftenan Kolonel Vachiral Ratanaphan Ban Teang yang membuat penghantaran ke Long Akah di hulu Baram.

Beliau dibantu Kapten Mohd Firdaus Anual dan Kuartermaster Udara, Sarjan Jacy Wharton Astillero.

Lokasi kedua penghantaran bekalan makanan asas hari ini dilakukan di Long Loyang, juga di hulu Baram.

Ia dikendalikan Mejar Frezal Raynol @ Zainal, dibantu pembantu juruterbang, Kapten Syahir Jaafar dan Kuartermaster Udara, PW II Sunerie Sugang.

Operasi penghantaran bekalan makanan ke kawasan pedalaman di Sarawak dilakukan bagi meringankan beban penduduk yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Miri, Ahad lalu.

Helikopter terpaksa digunakan berikutan beberapa kawasan di pedalaman yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat.

TUDM memberi jaminan penghantaran bekalan makanan ke semua 13 lokasi di pedalaman akan selesai sepenuhnya dalam masa empat hingga lima hari, bergantung kepada keadaan cuaca.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 8:19 PM