MISI penghantaran bantuan bekalan makanan ke pedalaman Sarawak menggunakan helikopter TUDM berjalan lancar hari ini. FOTO Ihsan ATM
MISI penghantaran bantuan bekalan makanan ke pedalaman Sarawak menggunakan helikopter TUDM berjalan lancar hari ini. FOTO Ihsan ATM
Mohd Roji Kawi

MISI penghantaran bantuan bekalan makanan ke kawasan pedalaman negeri ini yang dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hampir selesai.

Jurucakap Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) berkata, sembilan lokasi sudah menerima bantuan itu.

Katanya, sejumlah 18 penerbangan diperlukan bagi menghantar bekalan makanan ke 13 lokasi di pedalaman negeri ini dengan jumlah keseluruhan bantuan bekalan makanan seperti beras, minyak dan gula sebanyak 1,959 pek bersamaan dengan hampir 30,000 kilogram.

Beliau berkata, lokasi penghantaran itu ialah di Bario, Long Sait, Patik, Ba Lai, Long Lellang, Long Loyang, Long Sobeng, Long Aton, Long Akah, Long Apu, Long Anap, Apau Nyaring dan Long Palai.

“Hari ini memasuki hari keempat misi penghantaran bekalan makanan ke pedalaman Sarawak yang dilaksanakan pasukan di bawah naungan PMTTDM menggunakan helikopter No 5 Skuadron EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Labuan sejak bermula Ahad lalu.

“ATM akan melaksanakan misi penghantaran bekalan ini sebaik mungkin bagi memastikan rakyat di Sarawak terutama di pedalaman tidak terputus bekalan makanan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, di Miri, dua pegawai dan 18 anggota Batalion 20, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) membantu mengangkat naik dan turun barangan untuk diterbangkan ke lokasi di hulu Baram hari ini, iaitu di Long Sobeng, Long Aton dan Long Akah.

“Kini misi penghantaran hanya tinggal empat lokasi sahaja lagi dan ia dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Sementara itu di Sibu, sebanyak 117 pek bantuan bekalan makanan dihantar ke enam rumah panjang di kawasan hulu Julau dengan menggunakan helikopter Hornbill Skyways.

“Misi penghantaran di kawasan Sibu itu juga turut mendapat bantuan daripada anggota tentera dari Briged Ke-9 Infantri TDM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 4:55 PM