PASUKAN CMVT ATM menaiki helikopter EC725 TUDM untuk melaksanakan program vaksinasi Covid-19 di Ba'kelalan di pedalaman Bahagian Limbang. FOTO Ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Div
PASUKAN CMVT ATM menaiki helikopter EC725 TUDM untuk melaksanakan program vaksinasi Covid-19 di Ba'kelalan di pedalaman Bahagian Limbang. FOTO Ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Div
Mohd Roji Kawi

Miri: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan pasukan perubatannya untuk melaksanakan program vaksinasi Covid-19 di pedalaman Sarawak, hari ini.

Pasukan terdiri daripada dua doktor bersama tujuh anggota paramedik itu berlepas ke Ba'kelalan dari Lapangan Terbang Miri menaiki helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9 pagi tadi.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen Infantri berkata, penghantaran pasukan berkenaan adalah lanjutan daripada pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kem Muara Tuang, Sabtu lalu mengenai pelaksanaan Combat Medic Vaccination Team ATM (CMVT ATM) di pedalaman Sarawak.

"Pasukan Perubatan CMVT ATM itu dijangka memulakan proses vaksinasi di kawasan pedalaman bermula esok hingga 27 Jun ini.

"Ia membabitkan penduduk di Ba'kelalan dan Long Semado dengan sasaran lebih 1,000 penerima vaksin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, program itu seiring dengan tema Hari Tentera Darat ke 88 iaitu Sinergi Tentera Darat dan Rakyat, Tunjang Kedaulatan Negara.

"Kolaborasi formasi 1 Divisyen Infantri bersama kerajaan Sarawak melaksanakan pemberian vaksin di PPV Outreach itu dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan pedalaman.

"Ia sekali gus membantu mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sarawak," katanya.

Pada sidang media di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sabtu lalu, Ismail Sabri berkata, ketika ini lima lokasi pemberian vaksin oleh CMVT ATM di kawasan pedalaman di Sarawak sudah dikenal pasti.

Ia meliputi Ba'kelalan di Limbang; Sang Anau, Long Busang dan Long Unai di Kapit serta Nanga Ngungun di Kanowit dengan proses penghantaran vaksin akan menggunakan laluan udara, air dan darat.

CMVT di Sarawak diselaraskan oleh Markas 1 Divisyen Infantri dengan seramai lima pegawai perubatan, 15 anggota paramedik akan digerakkan termasuk 30 anggota sokongan yang bertugas di setiap kawasan terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 2:51 PM