Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan mangsa yang terapung hanyut di laut.
Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan mangsa yang terapung hanyut di laut.
Ruwaida Md Zain

DITEMUI terapung di laut dalam keadaan lemah selepas bot nelayan dinaiki karam.

Itu nasib diami seorang nelayan, Azlee Nin, 48, selepas dilaporkan hilang dan tidak pulang ke Jeti Pangkalan Sementara di Klang, Selangor, sejak kelmarin.

Mangsa bagaimanapun ditemui anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Ketam, Selangor, pagi semalam.

Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mangsa kira-kira 2.2 batu nautika dari lokasi botnya terbalik.

"Kira-kira jam 9.30 pagi tadi, Maritim menemui bot mangsa yang tenggelam pada kedudukan 2.6 batu nautika dari utara Pulau Ketam.

"Kami kemudian berjaya mengesan kedudukan mangsa menggunakan Helikopter Dauphin milik Maritim. Mangsa yang memakai jaket keselamatan ditemui dalam keadaan lemah pada 2.2 batu nautika dari lokasi bot jam 11.10 pagi tadi.

"Mangsa kemudian dibawa dengan helikopter ke Stesen Udara APMM Subang untuk rawatan," katanya.

Mohamad Rosli berkata, operasi SAR itu dijalankan sebaik isteri mangsa membuat laporan kehilangan suaminya yang turun ke laut bersendirian jam 4 pagi kelmarin.

"Mangsa yang memakai kemeja T hitam dengan bot fiber berwarna biru sepatutnya pulang pada jam 12 tengah malam semalam. Namun mangsa tidak pulang sehingga aduan dibuat kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Seorang rakan mangsa memberitahu kebiasaannya mangsa menangkap ikan di perairan Pulau Angsa," katanya.

Beliau berkata, sejurus menerima maklumat itu, pihaknya segera menugaskan bos Maritim, KILAT 15 yang sedang memantau dalam Ops Covid-19 menuju ke sekitar perairan Pulau Angsa.

“Bagaimanapun tiada laporan penemuan sehingga jam 5 pagi semalam. Operasi SAR diteruskan di sekitar perairan Pulau Ketam hingga Kuala Sungai Selangor sehingga mangsa berjaya diselamatkan.

"Operasi turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membabitkan 23 anggota,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 12:07 AM