Warga Bangladesh yang ditahan APMM. FOTO ihsan APMM
Warga Bangladesh yang ditahan APMM. FOTO ihsan APMM
Faliq Lajim


SERAMAI 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam dua operasi di perairan Selangor, hari ini.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, mereka ditahan ketika cuba memasuki perairan Malaysia dengan menaiki bot.

"APMM menahan masing-masing tujuh warga Indonesia dan Bangladesh berusia antara 21 hingga 52 tahun," katanya hari ini.

Abu Zaki berkata, dalam operasi pertama, pihaknya menahan bot nelayan Kelas B kira-kira 13 batu nautika dari Pulau Angsa dan pemeriksaan mendapati bot itu beroperasi tanpa surat kelulusan Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, empat warga Indonesia bersama bot itu dibawa ke Jeti DM4 Selangor untuk siasatan lanjut.

Dalam operasi kedua katanya, pihaknya menahan sebuah bot kira-kira satu batu nautika berhampiran Pulau Pintu Gedung kira-kira 2.30 pagi dan 10 lelaki membabitkan seorang tekong, dua awak-awak dan tujuh warga Bangladesh ditahan.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 6:54 PM