MICHEAL Chong ( dua dari kiri ) menyampaikan sumbangan penutup mulut dan hidung kepada wakil media The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad semalam.
MICHEAL Chong ( dua dari kiri ) menyampaikan sumbangan penutup mulut dan hidung kepada wakil media The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

“SAYA mendapat maklumat ada segelintir pemborong sengaja menyorokkan bekalan penutup mulut dan hidung susulan harga siling RM1.50 sekeping ditetapkan kerajaan,” ujar Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan (PSCD) MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan oleh golongan individu tamak yang meraih keuntungan besar susulan permintaan tinggi rakyat terhadap penutup mulut dan hidung ketika ini.

“Wabak pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkan orang ramai panik dan berusaha mendapatkan bekalan penutup mulut dan hidung.

“Malah ada yang sanggup membayar sehingga lima kali ganda berbanding harga

ditetapkan itu. Berdasarkan laporan diterima, berpuluh mangsa turut ditipu sindiket yang menawarkan penutup mulut dan hidung melalui jualan dalam talian,” katanya.

Menurutnya, semua tindakan ini hanya akan menyebabkan pembelian luar kawalan dan kekurangan bekalan topeng mulut dan hidung di pasaran.

“Malah ada kemungkin pihak yang mengimport penutup mulut dan hidung dari luar negara enggan menjual produk itu ke pasaran berikutan enggan menanggung kerugian susulan modal besar dikeluarkan.

“Selain itu saya mendapat aduan, ada antara pengimport membeli produk ini di luar negara pada harga RM1.18 sen setiap satu. Namun mereka perlu mengeluarkan modal tinggi bagi kos kargo udara dan ejen yang menguruskan pembelian,” katanya.

Micheal berkata, masalah dihadapi ini menyebabkan pengimport memilih pengangkutan kapal laut untuk membawa masuk penutup muka dan mulut yang akan mengambil masa lama tiba ke Malaysia.

Pada 30 Mac lalu, kerajaan bersetuju menurunkan harga siling bagi penutup muka dan mulut kepada RM1.50 sekeping, berbanding RM2 seperti diumumkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, kerajaan akan terus mengkaji harga siling itu dari semasa ke semasa dan mengumumkan kadar baharu sekiranya berlaku penurunan harga import topeng muka

Sebelum krisis kekurangan bekalan susulan penularan Covid-19, harga penutup mulut dan hidung di pasaran hanya sekitar 80 sen sekeping sebelum dinaikkan RM2 sekeping oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), dengan alasan peningkatan kos pengeluaran.

Sementara itu Micheal turut menyerahkan sumbangan lebih 300 penutup muka dan hidung kepada kakitangan akhbar Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, sumbangan itu dilakukan sebagai penghormatan terhadap warga media selaku petugas barisan hadapan yang membuat liputan sepanjang wabak Covid-19 melanda.

“Peranan media amat penting ketika ini dalam menyampaikan maklumat dan memastikan isu kebersihan dan pematuhan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) di kalangan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 11:38 PM