Suraya Roslan


KERAJAAN tidak bersetuju dengan penjualan harga siling penutup mulut dan hidung yang dinaikkan daripada 80 sen sekeping kepada RM2 sekeping.

Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam mesyuarat khas hari ini, jawatankuasa merasakan penjualan harga penutup mulut dan hidung pada harga RM2 terlampau tinggi.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga tidak bersetuju dengan harga berkenaan dan kita akan bincang supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat melihat semula.

“Kita harap harga diturunkan lebih banyak berikutan duti import untuk penutup mulut dan hidung juga sudah dihapuskan.

ORANG ramai menggunakan penutup mulut dan hidung ketika tinjauan di sekitar Bukit Bintang selepas kerajaan mengumumkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac 2020. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ORANG ramai menggunakan penutup mulut dan hidung ketika tinjauan di sekitar Bukit Bintang selepas kerajaan mengumumkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac 2020. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Harga baharu untuk penutup mulut dan hidung akan diputuskan esok dalam mesyuarat harian,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Menurutnya, sebanyak 10 juta penutup hidung dan mulut sudah ditempah dari China menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Sekarang dalam proses pembelian dari China yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Tetapi keutamaan diberikan kepada barisan hadapan iaitu kakitangan hospital, polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) manakala selebihnya akan diagihkan ke tempat berisiko tinggi,” katanya.

Menurutnya, NADMA adalah agensi diberi tanggungjawab untuk menguruskan pembelian penutup hidung dan mulut termasuk cecair pembasmi kuman.

“Kita sudah minta segerakan (pembelian) kerana kita tidak boleh tunggu lebih lama,” katanya.

Sebelum ini, KPDNHEP sudah melaksanakan larangan mengeksport penutup hidung dan mulut ke luar negara supaya bekalan dalam negara ditingkatkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 2:59 PM